Thursday, December 22, 2011

(HOT) Aziz Bari Tinggalkan UIA Gombak 31 Disember 2011


Tanggal 31 Disember ini menjadi pilihan buat tokoh akademik kontroversi, Prof Dr Aziz Bari yang akan meletakkan jawatan sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).“Seorang ahli akademik yang lantang bersuara berteraskan nilai keilmuan dan berpegang disiplin ilmu bahawa setiap ilmu mesti disampaikan,” kata Pengerusi Pro-M (Wufi) UIA, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.


Menurutnya, mahasiswa UIA berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku khususnya pentadbiran universiti itu.
Baginya, memang benar keputusan terletak dalam tangan Prof Aziz sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak, namun pihak universiti perlulah menjadi tempat beliau mendapat sokongan, bukan tekanan.

Katanya, isu Prof Aziz Bari ibarat ’sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila seolah-olah ada pihak luar yang mencucuk pihak pentadbiran UIA.
Tambahnya, Aziz Bari bukan sahaja berhadapan dengan musuh di luar, bahkan dalam keluarga sendiri sedangkan beliau diiktiraf oleh seluruh masyarakat dengan kepakaran bidangnya dalam perlembagaan dan undang-undang.

“Keputusan sudah dibuat oleh Prof Aziz, kita hanya mampu bersedih dan terasa kehilangan beliau,” katanya.
Namun, ujarnya masyarakat tetap dan sentiasa bersedia untuk mendengar respons dan pandangan Dr Aziz terhadap apa yang berlaku dalam negara khususnya berkaitan dengan perlembagaan Malaysia.

Abdul Aziz menerima surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh unit undang-undang universiti tersebut pada 19 Oktober lalu ekoran kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Sementara itu, Abdul Aziz menegaskan tindakan meninggalkan universiti itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

“Jika tidak bekerja di sini, saya ada kerja lain. Jadi saya tiada masalah sekiranya meninggalkan UIAM,” katanya.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan Abdul Aziz mengambil keputusan untuk meninggalkan UIAM kerana merasakan dirinya tidak lagi sesuai berkhidmat di universiti tersebut.

Beliau berkata, persekitaran di universiti tersebut menyebabkan niatnya untuk menjadi ahli akademik yang prihatin dengan masalah masyarakat dianggap sesuatu yang ganjil.

“Saya terpaksa tinggalkan UIAM kerana dalam keadaan sekarang, tiada ruang sesuai untuk saya terus berkhidmat di situ mahu pun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin


 
Designer: PutraMalaya for PutraRocker[Dot]Blogspot[Dot]Com All Rights Reserved 2012